JAKARTA - Malaysia mungkin pulang dari Piala ASEAN FIFA 2026 tanpa trofi dan tiket ke final, namun kempen Harimau Malaya di Indonesia tetap meninggalkan petanda jelas bahawa pasukan negara memiliki asas kukuh untuk mendepani cabaran lebih besar.Statistik pasukan negara cukup memberangsangkan dengan tiga kemenangan, satu keputusan seri, 10 gol dan sifar bolos dalam empat perlawanan untuk muncul satu-satunya pasukan yang mengakhiri kejohanan tanpa kalah serta tanpa dibolosi.Skuad kebangsaan kendalian ketua jurulatih interim Tan Cheng Hoe membuka saingan Kumpulan A Divisyen 1 dengan kemenangan 3-0 ke atas Bangladesh sebelum mengikat tuan rumah Indonesia tanpa jaringan, masing-masing di Stadium Gelora Bung Karno (GBK).Malaysia kemudian membelasah Singapura 6-0 pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung iaitu kemenangan terbesar ke atas seteru Seberang Tambak itu sejak 1978.Namun, kemenangan besar itu masih belum cukup untuk membawa Harimau Malaya ke final apabila Indonesia menewaskan Bangladesh 9-2 dalam satu lagi perlawanan kumpulan.Kedua-dua pasukan mengumpul tujuh mata dan perbezaan gol yang sama, iaitu sembilan gol tetapi Indonesia muncul juara kumpulan menerusi kelebihan jumlah jaringan, 11 gol berbanding sembilan gol yang dikumpul Malaysia.Di situlah letaknya sisi kritikal kempen Malaysia - sebuah pasukan yang tidak tewas dan tidak dibolosi tetap gagal menentukan nasib sendiri untuk ke final.Keputusan seri menentang Indonesia ketika lawan beraksi dengan 10 pemain untuk tempoh panjang, menjadi perlawanan yang kembali mencuri perhatian kerana Malaysia menguasai permainan tetapi gagal menterjemahkan peluang kepada gol kemenangan.Ia bukan bermakna satu mata di GBK tidak bernilai, sebaliknya kegagalan memanfaatkan kelebihan pemain akhirnya menjadikan pasukan terlalu bergantung kepada keputusan perlawanan lain pada hari terakhir saingan kumpulan.Bagaimanapun, respons pasukan selepas kekecewaan terlepas final memperlihatkan kematangan yang positif apabila mereka kembali ke GBK dan menundukkan Vietnam 1-0 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga.Jaringan pemain gantian Fergus Tierney bukan sahaja memastikan Malaysia menamatkan kejohanan dengan kemenangan, malah menamatkan kemarau kemenangan 12 tahun berdepan lawan itu sejak 2014.Pencapaian tanpa bolos dalam empat perlawanan pula memperlihatkan keteguhan struktur pertahanan Malaysia dengan penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi serta barisan pertahanan diketuai kapten Dion Cools berjaya mengekalkan disiplin dalam kejohanan singkat dan padat.Di bahagian serangan, Arif Aiman Mohd Hanapi, Bergson da Silva, Stuart Wilkin dan Tierney antara pemain yang memberi ancaman, manakala kemunculan pemain baharu seperti Brad Tapp dan Manuel Hidalgo menambah pilihan serta persaingan dalam skuad.Selain prestasi di atas padang, kejohanan yang julung kali dianjurkan itu turut membuka ruang penting kepada negara-negara Asia Tenggara untuk menguji kekuatan dalam pertandingan berintensiti tinggi di samping memperkukuh persaingan serantau.Bagi Malaysia, pertemuan dengan Bangladesh, Indonesia, Singapura dan Vietnam dalam tempoh singkat memberi pendedahan berharga kepada pemain serta barisan kejurulatihan untuk menilai kedalaman skuad, keserasian taktikal dan keupayaan pasukan mengendalikan tekanan dalam perlawanan berintensiti tinggi.Kejohanan itu juga memberi nilai tambah kepada bola sepak rantau ini menerusi pertembungan lebih kompetitif, peningkatan perhatian terhadap pemain tempatan dan peluang kepada pasukan membina keyakinan sebelum mengharungi tugasan di pentas Asia serta dunia.Sekiranya diteruskan pada masa depan, Piala ASEAN FIFA berpotensi menjadi platform penting untuk mengangkat standard bola sepak Asia Tenggara, bukan sahaja melalui persaingan lebih konsisten tetapi juga perkongsian pengalaman, penganjuran bertaraf antarabangsa dan pengembangan nilai komersial.Piala ASEAN FIFA 2026 bukan penamat kepada perjalanan Harimau Malaya, tetapi ia memberi penanda aras yang jelas bahawa Malaysia sudah memiliki organisasi, karakter dan rekod pertahanan untuk bersaing, namun perlu menjadi lebih tajam dalam memanfaatkan peluang pada detik-detik penting perlawanan.Indonesia dinobatkan juara edisi sulung Piala ASEAN FIFA yang menutup tirai semalam, apabila menewaskan Thailand yang bermain dengan 10 pemain menerusi penentuan penalti 4-2 selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 hingga tamat 120 minit permainan pada final di GBK. - Bernama
Harimau Malaya pulang tanpa trofi, namun bawa petanda positif
Story details
- Published
- Format
- Article
- Original
- sinarharian.com.my ↗
Related reporting
6 stories on this topic from 4 sources, oldest first.
- Berita Harian Harimau Malaya hadapi Vietnam tanpa Cools, Faisal
- Berita Harian Kempen tanpa kalah, bolos suntik semangat Harimau Malaya
- Sinar Harian Harimau Malaya pulang tanpa trofi, namun bawa petanda positif (this story)
- Utusan Malaysia Harimau Malaya lakar rekod tanpa bolos
- Malaysiakini (BM) Piala Fifa Asean: Macam Harimau Malaya lawan Belanda, kata MP Shah Alam









