KUALA LUMPUR: U Mobile Sdn Bhd mencapai liputan 90 peratus di kawasan berpenduduk (CoPA) di seluruh negara, sembilan bulan lebih awal daripada jadual ditetapkan, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, kejayaan penyediaan infrastruktur digital itu mencerminkan komitmen padu pengendali rangkaian mudah alih (MNO) dalam mempercepat peralihan teknologi negara.

Fahmi berkata, keputusan kerajaan untuk melaksanakan Model Dwirangkaian 5G telah terbukti berkesan dalam merangsang persaingan sihat, meningkatkan pelaburan dan memacu inovasi dalam sektor telekomunikasi tempatan.

"Hal ini kerana kita sedang berada pada satu tahap, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di banyak bahagian di seluruh dunia di mana persoalan mengenai infrastruktur digital menjadi asas kepada kemajuan teknologi, dan penggunaan pelbagai aplikasi akan mula diterima pakai.