Singapura: Mahkamah Negeri Singapura pada Selasa mengenakan denda masing-masing S$3.35 juta (S1=RM3.20) ke atas dua lelaki kerana mengimport lebih 4.5 juta liter diesel dari Malaysia tanpa pengisytiharan yang diperlukan, sekali gus mengelak duti dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Menurut Kastam Singapura dalam kenyataan pada Selasa, warga Singapura Chua E Hong, 51, dan Ng Leok Kwee, 48, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan mengelak duti secara curang di bawah Akta Kastam.
Tuduhan itu melibatkan pengimportan 4,527,099 liter minyak diesel automotif antara April dan Disember 2024, dengan kira-kira S$905,419 nilai duti dielakkan.
Mahkamah turut mengambil kira 16 pertuduhan lain semasa menjatuhkan hukuman terhadap kedua-dua lelaki itu iaitu terdiri daripada enam pertuduhan mengelak duti secara curang dan 10 pertuduhan mengelak GST secara curang. Jumlah duti dan GST terlibat adalah kira-kira S$2,500,205.








