KUALA LUMPUR: Sektor pelancongan Malaysia terus menunjukkan momentum positif dengan merekodkan kehadiran 28.8 juta pelancong antarabangsa dari Januari hingga Ogos tahun ini, meningkat 1.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Timbalan Ketua Pengarah (Promosi) Tourism Malaysia, Mohd Akbal Setia, berkata prestasi itu mencerminkan daya tarikan berterusan negara sebagai destinasi pelancongan serta kepentingan memperkukuh kerjasama pelancongan antarabangsa.
"Perkembangan ini amat relevan ketika negara terus memperkukuh industri berkenaan menerusi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026-2027," katanya hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pameran dan Persidangan Pelancongan, Seni dan Budaya Antarabangsa (INTACT) 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, mewakili Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.






