KUCHING: Liputan infrastruktur ketersambungan digital di Sarawak melonjak daripada 54 peratus kepada 94 peratus, sekali gus meletakkan negeri itu pada fasa baharu pembangunan ekonomi digital yang kini beralih daripada perancangan kepada pelaksanaan teknologi secara lebih agresif.

Pengerusi Sarawak Digital Economy Corporation (SDEC), Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani berkata, pencapaian itu mencerminkan sebahagian besar sasaran awal pembangunan ekonomi digital Sarawak telah berjaya dicapai, dengan kira-kira 80 hingga 90 peratus daripada sasaran berkenaan telah direalisasikan.

Katanya, tumpuan selepas ini adalah memperluas penggunaan teknologi dalam sektor swasta dan industri, termasuk Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), pertanian berketepatan tinggi, automasi, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi kewangan (FinTech).