KUALA LUMPUR: Sekolah di ibu negara lengang pagi ini susulan arahan penutupan institusi pendidikan akibat keadaan jerebu, manakala sebahagian ibu bapa mengambil peluang membawa pulang anak yang tinggal di asrama.

Tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Perdana, SMK Padang Tembak dan Sekolah Kebangsaan (SK) Bangsar mendapati pintu pagar sekolah berkunci dan tiada aktiviti persekolahan secara bersemuka dijalankan.

Sesi pembelajaran pula diteruskan secara dalam talian susulan penutupan berkenaan.

Bagaimanapun, suasana di asrama SMK Seri Titiwangsa kelihatan sedikit sibuk apabila sebahagian ibu bapa hadir seawal pagi untuk menjemput anak pulang ke rumah.

Pekerja swasta, Megat Zaim Safwan, 38, berkata beliau menerima makluman daripada pihak pengurusan sekolah malam tadi berhubung kebenaran membawa pulang pelajar asrama bermula pagi ini susulan notis penutupan sekolah.