KUALA LUMPUR: Semua kelas di Universiti Malaya (UM) akan dilaksanakan secara dalam talian dan hibrid bermula Isnin ini sekiranya keadaan jerebu kekal pada tahap sama seperti hari ini.

Naib Canselor UM, Datuk Seri Profesor Dr Noor Azuan Abu Osman, berkata keputusan itu dibuat menerusi mesyuarat Jawatankuasa Krisis UM yang bersidang pagi tadi.

Katanya, pelaksanaan kaedah pembelajaran itu bergantung kepada bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dan keadaan semasa yang akan dipantau dari semasa ke semasa.

"Di UM kita mempunyai Jawatankuasa Krisis Universiti Malaya yang baru sahaja bersidang pagi tadi.

"Kita memutuskan bermula minggu depan, pada Isnin, sekiranya keadaan seperti hari ini, kelas akan dibuat secara dalam talian dan juga hibrid, sekiranya IPU berada pada paras sama seperti hari ini," katanya selepas Majlis Penutupan Kolokium Penguasaan dalam Pengajaran Inovatif Universiti Malaya (UM MINT) dan Karnival Universiti Antarabangsa mengenai E-Pembelajaran (IUCEL) 2026, di sini hari ini.