am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Satu sindiket penyeludupan dadah antarabangsa dipercayai merekrut pelancong dari India untuk menyeludup ketamin ke Malaysia menggunakan beg bagasi yang diubah suai, dengan setiap penghantar dibayar kira-kira RM1,000.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sindiket itu menyembunyikan dadah di dalam ruang khas yang diubah suai pada beg bagasi bagi mengelak dikesan semasa pemeriksaan keselamatan lapangan terbang.

Katanya, operasi yang dinamakan Op Plekoptera berjaya membongkar rangkaian penyeludupan terbabit yang dipercayai aktif sejak Mac tahun ini.

"Sindiket ini menggunakan warga India untuk membawa masuk dadah ke Malaysia. Mereka menyembunyikan dadah tersebut di dalam beg bagasi yang telah diubah suai secara khusus dan setiap penghantar pula dibayar kira-kira RM1,000," katanya pada sidang media di sini, hari ini.