KOTA KINABALU: Allahyarham Zara Qairina Mahathir pernah menghalang ibunya daripada bersemuka dengan pelajar senior di asrama sekolah kerana bimbang tindakan itu akan menyebabkan dia dibuli lebih teruk.
Ibu remaja itu, Noraidah Lamat, 46, yang juga saksi ke-81, berkata dia pernah mencadangkan pertemuan dengan warden, pengawal keselamatan, pelajar senior yang terlibat serta Zara Qairina bagi mendapatkan penjelasan mengenai masalah diadukan anaknya.
Bagaimanapun, Noraidah berkata, Zara Qairina tidak bersetuju dengan cadangan itu kerana bimbang akan menerima tindakan balas daripada kumpulan pelajar senior berkenaan.
"Anak saya menghalang. Contoh ayatnya begini, 'Janganlah mak buat mak, orang tu nanti buat lebih teruk lagi kepada Zara mak, orang tu ada geng, geng besar di asrama'," katanya ketika memetik kata-kata anaknya di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, di sini hari ini.










