KUALA LUMPUR: Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli terpaksa mengharungi sesi Kelayakan 1 (Q1) bagi memburu slot ke Kelayakan 2 (Q2) Grand Prix (GP) Indonesia selepas gagal menempatkan diri dalam kelompok 14 pelumba terpantas pada sesi Latihan, hari ini.

Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSI itu berdepan detik sukar apabila terjatuh ketika sesi berkenaan, sekali gus menjejaskan usahanya untuk memperbaiki catatan masa.

Hakim Danish hanya sempat melengkapkan lapan pusingan dengan catatan terbaik 1 minit 38.350 saat (s) yang dilakukannya pada pusingan ketiga.

Catatan itu menyaksikan pelumba negara berkenaan menamatkan sesi di kedudukan ke-18 keseluruhan, sekali gus memaksanya beraksi dalam Q1 esok bagi merebut peluang ke Q2.