SEPANG: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli yang bergelut dengan prestasi sejak tiba di Litar Motegi, mempamerkan kebangkitan setelah melengkapkan aksinya di kedudukan ke-12 pada Grand Prix Motosikal Jepun, semalam.

Bernaung di bawah pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi, anak jati Terengganu itu mencatat perlumbaan 17 pusingan tersebut dengan catatan masa 33 minit 06.817 saat (s).

Keputusan tersebut masih mengekalkan Hakim Danish di kedudukan ketujuh dalam Kejuaraan Dunia Moto3 dengan 105 mata selepas menokok empat mata.

Perlumbaan yang telahpun memasuki pusingan ke-16 itu menyaksikan David Almansa dari pasukan Liqui Moly Dynavolt Intact GP menjuarai saingan dengan lakaran masa terpantas 32 minit 45.544.