KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli berdepan tugas getir apabila terpaksa memulakan perlumbaan Grand Prix Jepun dari petak ke-22 selepas sekadar menamatkan sesi Kelayakan 1 (Q1) di tempat kelapan, hari ini.
Penunggang AEON Credit-MT Helmets-MSi itu merekodkan masa terbaik 1 minit 55.856 saat, ketinggalan 0.534 saat daripada pelumba terpantas Q1, Guido Pini daripada Leopard Racing yang mencatat 1:55.322s.
Kedudukan berkenaan menyaksikan Danish gagal memperoleh tempat ke dalam kelompok pelumba yang mendapat laluan automatik ke sesi Kelayakan 2 (Q2), sekali gus menyaksikan dia perlu memulakan perlumbaan esok dari barisan belakang.
Sebagai perbandingan, Pini muncul pendahulu Q1 dengan catatan 1:55.322s, diikuti pelumba Red Bull KTM Tech3, Rico Salmela yang hanya ketinggalan 0.045 saat dengan 1:55.367s, manakala Jesus Rios daripada Rivacold Snipers Team di tempat ketiga dengan 1:55.639s.








