KUALA LUMPUR: Dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan seorang bekas pegawai agensi itu diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan merompak seorang ahli perniagaan warga China membabitkan wang tunai hampir RM1 juta dan barangan berharga, lima tahun lalu.
Hakim Datuk Mohd Arief Emran Arifin membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan ketiga-tiga tertuduh di akhir kes pendakwaan.
Mereka ialah Muhamad Haffiz Mohd Radzi, 36, Mohd Fahmee Mohamad Nor, 44, dan bekas pegawai SPRM, Azwan Asli, 41.
Mohd Arief berkata, hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf apabila memutuskan elemen ketakutan dalam kes itu gagal dibuktikan, sedangkan elemen berkenaan wujud.










