Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengetepikan keputusan pembebasan dua pegawai SPRM yang masih berkhidmat dan seorang bekas pegawai yang didakwa merompak seorang ahli perniagaan warga China hampir RM1 juta.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi memerintahkan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang masih berkhidmat dan seorang bekas pegawai membela diri berhubung dakwaan merompak seorang ahli perniagaan China membabitkan wang tunai hampir RM1 juta.

Hakim Arief Emran Arifin membenarkan rayuan pendakwaan terhadap pembebasan mereka oleh Mahkamah Sesyen tahun lalu, dengan memutuskan bahawa kes prima facie telah dibuktikan.

Beliau berkata Mahkamah Sesyen terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila memutuskan bahawa bukti terhadap Haffiz Radzi, Fahmee Nor dan bekas pegawai SPRM, Azwan Asli, tidak mencukupi.