Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Hussein Omar Khan berkata tempahan itu dibuat dengan bayaran USD49,500. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Seorang warga Filipina dipercayai dalang sindiket penyeludupan dadah menempah jet persendirian yang dikaitkan dengan rampasan 521kg methamphetamine di Laos pada 23 Sept lalu, kira-kira seminggu sebelum kejadian itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Hussein Omar Khan, berkata individu itu menempah perkhidmatan sebuah syarikat penerbangan persendirian yang dikenal pasti dimiliki empat individu, iaitu dua juruterbang warga Malaysia dan dua warga Singapura, dengan bayaran USD49,500.

Beliau berkata, tempahan itu bagi penerbangan dari Laos ke Manila, Filipina dengan barangan yang diisytiharkan sebagai produk vape.