KUALA LUMPUR: Warga Filipina dipercayai dalang di sebalik cubaan menyeludup lebih setengah tan methamphetamine kristal (syabu) dari Laos ke Manila menggunakan jet peribadi yang dikaitkan dengan syarikat penerbangan milik warga Malaysia.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata siasatan awal mendedahkan individu itu mengatur sewaan pesawat dengan harga US$49,500 (kira-kira RM202,250) untuk mengangkut barang yang diisytiharkan dari Laos ke Filipina.

Beliau berkata, Polis Diraja Malaysia berkongsi maklumat mengenai individu itu dengan Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA) untuk memudahkan usaha mengesan dan menahan suspek.

Katanya, dadah berkenaan diisytiharkan sebagai produk vape dalam manifest kargo pesawat, bagi mengaburi penghantaran haram menuju Manila.