KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau Veraman, telah memfailkan saman fitnah terhadap pendakwah Firdaus Wong Wai Hung berhubung hantaran di media sosial yang didakwa mempersoalkan kesetiaannya kepada Malaysia.
Ganabatirau selaku plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Tinggi, di sini melalui firma guaman Messrs SN Nair & Partners semalam dengan menamakan Firdaus Wong sebagai defendan.
Berdasarkan pernyataan tuntutannya, Ganabatirau mendakwa Firdaus Wong menyiarkan kenyataan berunsur fitnah pada 28 Julai menerusi akaun media sosialnya.
Dakwa plaintif hantaran tersebut menggambarkan beliau secara palsu sebagai individu yang mempunyai kesetiaan berbelah bahagi antara Malaysia dan India susulan tindakannya menyuarakan kebimbangan mengenai program ‘Overseas Citizen of India’ (OCI) kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi.









