KUALA LUMPUR – Taktik sindiket penyeludupan dadah menggunakan laluan udara dari Ipoh, Perak dengan transit di Singapura sebelum menuju ke London terbongkar selepas seorang lelaki warga asing ditahan menerusi Op Tebuan, September lalu.
Lelaki tersebut merupakan antara tujuh suspek yang diberkas dalam tujuh serbuan di Perak, Selangor dan Kedah selepas disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan dadah antarabangsa yang dipercayai aktif sejak Julai lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, serbuan pertama dilakukan di kawasan perkarangan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh pada 1 September lalu.
Menurutnya, dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki warga asing dan merampas 50 bungkusan lutsinar berisi ketulan mampat disyaki bunga ganja seberat 26.2 kilogram (kg).









