PETALING JAYA – Penutupan sekolah susulan keadaan jerebu, hari ini menyaksikan ibu bapa kembali ‘memegang watak’ sebagai guru apabila anak-anak mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Gelagat ibu bapa menemani, memantau malah turut sama melakukan aktiviti pembelajaran bersama anak masing-masing mencuri perhatian selepas dikongsikan di media sosial sejak awal pagi.

Seorang ibu menerusi Threads, @iffahsafwahrosli berkongsi video dirinya bersama anak yang lengkap berpakaian seragam sekolah ketika mengikuti kelas Pendidikan Jasmani (PJ) dari ruang tamu rumah.

“Pertama kali jadi cikgu PJ. Gementar sikit. Mak-mak yang lain jadi cikgu apa pagi ni?” tulisnya secara berseloroh.

Perkongsian itu kemudian mengundang ibu bapa lain berkongsi pengalaman masing-masing mengendalikan ‘kelas’ di rumah selepas sekolah ditutup berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang berada pada tahap tidak sihat di beberapa kawasan.