KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau Veraman, memfailkan saman fitnah terhadap pendakwah Firdaus Wong Wai Hung berhubung hantaran media sosial yang didakwa mempersoalkan kesetiaannya kepada negara.
Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menerusi firma guaman SN Nair & Partners semalam.
Dalam pernyataan tuntutannya, Ganabatirau mendakwa Firdaus Wong menerbitkan kenyataan berunsur fitnah menerusi akaun media sosialnya pada 28 Julai lalu.
Beliau mendakwa hantaran berkenaan memberikan gambaran palsu seolah-olah kesetiaannya berbelah bahagi antara Malaysia dengan India susulan tindakannya membangkitkan isu program Overseas Citizen of India (OCI) kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi.










