BALIK PULAU: Pemandu lori dan dua warga India yang bekerja sebagai tukang masak didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri 30,000 unit cip bernilai RM2 juta dari sebuah kilang di Bayan Lepas, bulan lalu.

Tertuduh, B Rashkumar, 35, G Ilayaraja, 24, dan V Sivakumar, 25, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Chia Huey Ting.

Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga tertuduh dipenjara selama setahun sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, ketiga-tiga mereka mengaku bersama-sama mencuri 30,000 unit cip bersepadu di kilang Elite Electronic Product Services (M) Sdn Bhd, 88E Persiaran Bayan Lepas pada jam 7.30 pagi, 20 September lalu.