am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Apa yang bermula sebagai pertemuan untuk menyelesaikan salah faham antara dua individu, bertukar menjadi pergaduhan yang akhirnya menyebabkan pemandu peribadi didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Muhammad Zulhafiz Muhammad Zahari, 30, mengaku bersalah menggunakan kekerasan jenayah terhadap bekas teman lelaki adiknya, seorang penghantar barangan berusia 24 tahun, Muhammad Afiff Zahran Zori, tanpa provokasi berat dan secara tiba-tiba.
Majistret Amalina Johar menjatuhkan hukuman denda RM1,000 terhadap Zulhafiz dan memerintahkan beliau dipenjarakan selama sebulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Denda RM1,000 itu adalah hukuman maksimum diperuntukkan di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan, yang meliputi kesalahan menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah terhadap seseorang tanpa provokasi berat dan secara tiba-tiba.






