BATU PAHAT: Seorang pengutip besi buruk direman empat hari selepas disyaki memukul neneknya menggunakan tali pinggang dan mengugut wanita warga emas itu dengan parang dalam kejadian di Batu 1 1/2, Jalan Yong Peng, di sini.
Perintah reman terhadap suspek berusia 18 tahun itu dikeluarkan Majistret Aimi Nawwar Mohamad Othman sehingga Ahad ini bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut.
Berdasarkan laporan polis dibuat ahli keluarga mangsa, kejadian dipercayai berlaku selepas suspek memaksa neneknya yang berusia 75 tahun meminta wang daripada jiran untuk menampung perbelanjaannya.
Bagaimanapun, tindakan wanita warga emas itu yang enggan menuruti permintaan berkenaan menyebabkan suspek berang sebelum bertindak memukulnya.









