MARANG: Seorang lelaki maut selepas dipercayai dipukul adiknya yang mempunyai masalah kesihatan mental menggunakan tukul dalam kejadian di Kampung Tasek, di sini, hari ini.
Mangsa, Mohd. Nasir Ismail, 43, yang merupakan anak sulung daripada sembilan beradik, dipercayai mengalami kecederaan parah di kepala dalam kejadian berkenaan.
Ibu mangsa, Hasnah Sulong, 63, berkata, ketika kejadian dia berada di ruang tamu rumah sebelum mendengar jeritan dari bahagian ruang hujung rumah.
“Kemudian saya mendengar bunyi seperti ada sesuatu kena pukul. Saya terus memanggil suami, Ismail Ibrahim, 80, yang berada di luar rumah. Apabila masuk ke dalam rumah, dia nampak Nasir sudah berlumuran darah dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya ketika ditemui di sini.










