Marang: Seorang lelaki maut selepas dipercayai dipukul menggunakan tukul oleh adiknya yang mempunyai masalah mental, dalam kejadian di Kampung Tasek, di sini, hari ini.
Mangsa Mohd Nasir Ismail, 43, yang merupakan anak sulung daripada sembilan adik-beradik, dipercayai mengalami kecederaan parah di kepala dalam kejadian itu.
Ibu mangsa Hasnah Sulong, 63, berkata, dia masih terkejut dengan kejadian itu.
Katanya, ketika kejadian, dia berada di ruang tamu rumah sebelum terdengar jeritan dari bahagian hujung rumah dan diikuti bunyi seperti seseorang dipukul.
"Saya terus memanggil suami Ismail Ibrahim, 80, yang ketika itu berada di luar rumah. Apabila masuk ke dalam rumah, dia nampak Nasir sudah berlumuran darah dan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tasek, di sini hari ini.








