MARANG – Seorang tukang rumah maut dalam keadaan berlumuran darah disyaki dibunuh oleh adik kandungnya sendiri yang merupakan orang kurang upaya (OKU) kategori mental.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 10.14 pagi itu, kepala mangsa, Mohd. Nasir Ismail, 43, yang merupakan anak sulung daripada sembilan beradik dipercayai dipukul adik keduanya berusia 42 tahun dengan menggunakan tukul.

Suspek juga dipercayai mencederakan bahagian belakang seorang lagi adiknya, Rurazmia, 36, turut yang cuba meleraikan insiden itu.

Ibu mereka, Hasnah Sulong, 63, mendakwa menyedari kejadian itu selepas mendengar bunyi pukulan kuat disusuli jeritan Mohd. Nasir dari bahagian hujung rumah.

“Saya yang ketika itu berada di ruang tamu terus memanggil suami, Ismail Ibrahim, 80. Dia (Ismail) yang berada di luar rumah terus meluru masuk sebelum nampak anak sulung kami (Mohd. Nasir) sudah berlumuran darah pada bahagian kepala,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tasek, di sini, hari ini.