BALIK PULAU: Seramai 29 warga China dan Kemboja yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam sindiket gores dan menang dalam talian bulan lalu, didenda antara RM4,000 hingga RM10,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan imigresen.

Tertuduh termasuk 10 wanita berusia antara 21 hingga 63 tahun, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Chia Huey Ting.

Daripada jumlah itu, tujuh tertuduh mengaku bersalah atas kesalahan tinggal lebih masa di negara ini tanpa alasan munasabah di sebuah premis di Lintang Teluk Kumbar 1, Teluk Kumbar, kira-kira jam 10.30 malam pada 22 September lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(4) akta sama.