BANGKOK – Pihak berkuasa Thailand mematahkan cubaan menyeludup seorang pendatang tanpa izin (PATI) warga China selepas mengejar dua kenderaan sejauh 40 kilometer dalam operasi di wilayah Songkhla, Selatan Thai, lapor akhbar Bangkok Post.
Polis kemudian menahan tiga warga tempatan disyaki membawa lelaki berkenaan dari sempadan Kemboja merentasi Thailand menuju ke Malaysia.
Jurucakap Bahagian 6 Polis Imigresen Thailand, Kolonel (polis) Charoenpong Khantilo berkata, tangkapan dibuat di daerah Hat Yai selepas pihak polis menerima maklumat risikan aktiviti penyeludupan manusia di kawasan sempadan.
Bertindak atas maklumat, pasukan polis mengesan dua kenderaan mencurigakan dipandu laju sebelum memulakan aksi mengejar sejauh 40 kilometer.










