IMPIAN sejak kecil untuk mengharumkan nama negara akhirnya menjadi kenyataan buat Muhammad Sulaiman Mohd. Suhifullah, 18, apabila terpilih mewakili Malaysia pada Kejohanan Canoe Polo World Championships 2026 di Duisburg, Jerman baru-baru ini.

Menariknya, perjalanan sukan pelajar jurusan Teknologi Elektrik Pendawaian Tiga Fasa di Kolej Teknologi Tinggi Jabatan Tenaga Manusia (Adtec JTM), Kampus Kuala Lumpur itu baru sahaja bermula pada 2023.

Namun, dia berjaya membuktikan dan mengembangkan potensi hingga terpilih untuk membawa cabaran negara di pentas dunia dalam sukan canoe polo (polo kanu).

Sulaiman yang beraksi pada posisi keeper berkata, peluang itu bukan sahaja membanggakan dirinya, malah hadir bersama tanggungjawab besar sebagai atlet yang membawa nama Malaysia di pentas antarabangsa.