MACHANG – Seorang kelindan lori dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menghalang tugas dua anggota polis apabila bertindak memukul kedua-dua individu itu sehingga cedera kira-kira tiga minggu lalu.

Tertuduh, Mohd. Aruza Mohamed Zain, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menghalang penjawat awam pegawai polis iaitu Koperal Anaafiz Ismail dan Konstabel Muhammad Ammar Haziq Roslan dalam menjalankan fungsi awamnya.

Perbuatan itu dilakukan di depan sebuah rumah di Kampung Alor Melaka, Pulai Chondong di sini kira-kira pukul 7.30 malam pada 19 September 2026.