PALANGKARAYA, Indonesia: Dalam kepulan asap tebal dan api yang marak, seekor orang utan hanya mampu berpaut pada sebatang pokok yang hampir kering, seolah itulah satu-satunya tempat berlindung daripada kebakaran hutan yang memusnahkan habitatnya di Borneo, Indonesia.
Novita, orang utan betina berusia antara tiga hingga empat tahun, terpaksa meredah api untuk menyelamatkan diri sebelum memanjat pokok berkenaan, namun usaha itu menyebabkan tapak kaki dan jari kakinya melecur.
Kisah pilu Novita menerusi rakaman video dan dikongsikan kumpulan pemuliharaan memberi gambaran nasib puluhan orang utan yang diselamatkan daripada kebakaran hutan di beberapa kawasan di Sumatera dan Borneo sejak beberapa bulan lalu.










