Anak-anak kita sudah lama diajar buah-buahan dan sayur-sayuran baik untuk kesihatan. Mereka juga tahu minuman bergula perlu dihadkan dan makanan segera tidak wajar diambil berlebihan.

Namun, apabila pilihan sebenar berada di hadapan mata, adakah pengetahuan itu benar-benar membantu mereka memilih.

Persoalan ini penting kerana cabaran pemakanan generasi muda bukan sekadar soal pengetahuan. Malaysia berdepan beban berganda malpemakanan, apabila kekurangan zat makanan seperti bantut wujud, pada masa sama dengan masalah berat badan berlebihan dan obesiti.

Dua keadaan kelihatan bertentangan ini membawa mesej sama, iaitu pendidikan pemakanan perlu melangkaui penyampaian fakta.

Kita mungkin berjaya mengajar murid mengenai piramid makanan, kumpulan nutrien dan kesan pengambilan gula berlebihan. Mereka mungkin mampu menjawab soalan peperiksaan dengan tepat. Tetapi kehidupan tidak berlaku di dalam kertas soalan.