Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan terhadap seorang pesara polis yang didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang diasuh oleh anak perempuannya.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah yang bersidang bersama-sama K. Muniandy dan Dean Wayne Daly sebulat suara menolak rayuan lelaki berusia 76 tahun itu terhadap sabitan dan hukuman.

Hakim Azman berkata terdapat keterangan kukuh dan meyakinkan bagi menyokong sabitan terhadap perayu walaupun mangsa baru berusia lapan tahun ketika memberi keterangan di mahkamah.

Beliau berkata keterangan mangsa kekal konsisten dan selari dengan laporan polis yang dibuat oleh bapanya serta laporan perubatan, manakala perbuatan keji itu bukan sahaja menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa, malah turut memberi kesan psikologi yang mendalam.