MANCHESTER: Gergasi Bundesliga, Bayern Munich menjadi kelab terbaharu menyertai pemburuan pemain muda berbakat Manchester United, JJ Gabriel selepas bintang muda itu menyatakan hasrat untuk meninggalkan Old Trafford.

Pemain remaja berkenaan genap berusia 16 tahun pada Selasa, sekali gus membolehkannya berhijrah dari Carrington ke mana-mana kelab Eropah berikutan permohonannya untuk keluar, bulan lalu.

Bayern dikhabarkan mendahului saingan apabila sudah mula menghubungi kem Gabriel minggu ini selepas pernah mengadakan perbincangan awal pada Mei lalu.

Selain Bayern, gergasi Eropah seperti Real Madrid, Paris Saint-Germain (PSG) dan Barcelona turut mengintai peluang, meskipun Barca secara terbuka menafikan minat mereka.