KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MOF) sedang memuktamadkan cadangan penggubalan Akta Badan Berkanun dan Entiti Kawalan (Tadbir Urus Kewangan) bagi memperkukuh tadbir urus syarikat milik kerajaan.

Menurut MOF, cadangan itu dijangka memperketat tatacara penubuhan syarikat baharu, memperkukuh mekanisme kelulusan pelaburan dan pinjaman serta meningkatkan akauntabiliti lembaga pengarah dan pengurusan.

"Tujuannya adalah untuk memastikan keputusan korporat dibuat secara berhemat, telus dan bertanggungjawab," menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen, hari ini.

MOF menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai langkah penambahbaikan susulan laporan audit berkenaan ketirisan dana awam.