PETALING JAYA: Malaysia perlu memastikan kemajuan dalam bidang teknologi dan ekonomi disokong oleh sistem pentadbiran serta institusi yang mampu menjamin integriti dan akauntabiliti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara yang disentuh dalam perbincangan beliau bersama beberapa tokoh terkemuka dalam bidang teknologi dan akademik di luar persidangan Forum Megatrends Khazanah 2026, hari ini.

Beliau berkata, antaranya ialah Ketua Pegawai Eksekutif SkyeChip, Datuk Fong Swee Kiang yang juga merupakan tokoh terkemuka dalam industri semikonduktor.

“Kami sependapat mengenai keperluan Malaysia untuk bergerak melangkaui sektor pembuatan tradisional serta memperkukuh keupayaan dalam teknologi berimpak tinggi, khususnya dalam kitaran pertumbuhan pesat kecerdasan buatan (AI),” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.