KUALA LUMPUR: Sebanyak RM103.8 juta wang jaminan yang dibayar menerusi sistem bayaran jaminan dalam talian mahkamah (e-Jamin) dilaburkan atas nama syarikat pengendali sistem berkenaan, sekali gus melanggar peraturan kewangan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun komersial Dapat Vista Sdn. Bhd. dan menjana faedah antara RM4 juta hingga RM5 juta setahun.

Katanya, tindakan itu didapati melanggar Perkara 97(1) Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 7 Akta Tatacara Kewangan 1957.

“Daripada RM193.71 juta deposit jaminan yang dipegang setakat 31 Disember 2024, sebanyak RM103.8 juta telah dilaburkan atas nama syarikat dan menghasilkan faedah antara RM4 juta hingga RM5 juta setahun,” katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.