KUALA LUMPUR: Sebarang isu keselamatan di sekolah mesti dilaporkan dengan segera tanpa ada pihak cuba menyembunyikannya semata-mata demi menjaga nama baik institusi.

Bagi memastikan perkara itu, hubungan erat antara pihak sekolah dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu diperkukuhkan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, PDRM menerusi Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) sentiasa menjalinkan hubungan baik dengan pihak sekolah termasuk melakukan lawatan secara berkala.

Katanya, keselamatan sekolah merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama erat antara PDRM, Kementerian Pendidikan (KPM) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

“Banyak perkara yang berlaku di luar dugaan memerlukan perhatian bukan sahaja daripada polis tetapi juga pihak sekolah dan ibu bapa melalui sinergi PDRM, KPM dan PIBG,” katanya semasa sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Buku Panduan Jururunding PDRM di Bukit Aman di sini hari ini.