KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan perlu mempunyai rekod jelas mengenai tahap keselamatan di setiap sekolah termasuk lokasi kamera litar tertutup (CCTV) dipasang serta kawasan yang masih mempunyai jurang pemantauan.

Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Pahang, Daniel Khoo berkata, audit itu penting supaya kelemahan dapat dikenal pasti lebih awal dan tidak hanya diberi perhatian selepas berlaku tragedi.

"Pemasangan CCTV tidak seharusnya hanya dilihat dari segi jumlah kamera tersedia tetapi juga lokasi pemasangan, keadaan kamera dan sistem penyimpanan rakaman juga perlu diberi perhatian.

"Ia tidak hanya sekadar mempunyai CCTV. Kita juga perlu tahu jumlah, lokasi, pihak bertanggungjawab terhadap CCTV dipasang selain sama ada rakaman itu boleh digunakan apabila berlaku sesuatu," katanya mengulas tragedi seorang pelajar yang maut dipercayai dibunuh di Yong Peng, Johor.