KUALA LUMPUR: Pihak sekolah dan badan pendidikan perlu menangani isu buli dengan lebih serius, termasuk memastikan setiap aduan yang diterima disiasat dan tindakan sewajarnya diambil segera bagi melindungi mangsa.

Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Daniel Khoo berkata, kes buli tidak seharusnya hanya diberi perhatian selepas keadaan menjadi lebih serius, sebaliknya langkah pencegahan dan intervensi perlu dimulakan sebaik sahaja terdapat aduan atau tanda-tanda berlakunya buli.

Katanya, sekolah perlu mempunyai mekanisme yang jelas bagi menerima, menyiasat dan mengendalikan aduan buli supaya kebajikan serta keselamatan mangsa tidak terabai.

“Keselamatan anak-anak mesti diutamakan. Kami menggesa semua sekolah supaya segera menjalankan siasatan sebaik sahaja menerima sebarang aduan sedemikian, bukannya menunggu sehingga keadaan bertambah teruk baharu bertindak,” katanya.