BATU PAHAT: Dua buruh warga Indonesia dipenjara lapan tahun dan dikenakan tujuh sebatan oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini selepas mengaku bersalah merompak RM30,000 dan barang kemas milik majikan empat bulan lalu.
Sangkot Ibrahim, 32, dan Asgi Yusandi, 25, dijatuhkan hukuman itu oleh Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Mahkamah membuat keputusan berkenaan selepas mengambil kira pengakuan bersalah kedua-dua tertuduh serta rayuan dan hujahan pemberatan pihak pendakwaan.
Mengikut pertuduhan, dua lelaki itu didakwa bersama-sama merompak harta milik seorang wanita warga emas berusia 64 tahun, membabitkan wang tunai RM30,000, empat utas rantai dan gelang emas, anting-anting, rantai kaki serta cincin emas.










