KOTA BHARU: Jururawat yang parah ditikam enam kali oleh suaminya di rumah mereka di Kampung Padang Lepai, Kadok di sini, malam kelmarin, kini berada dalam keadaan stabil.

Anak sulung mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Amirah, 19, berkata ibunya sudah sedar semula pada petang semalam tetapi masih berada bawah pemantauan rapi di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

"Menurut doktor, keadaan ibu sudah mula stabil hari ini tetapi dia masih memerlukan pemantauan rapi oleh pihak hospital.

"Adik-beradik saya dan ahli keluarga lain bergilir-gilir menjaganya di hospital," kata anak sulung daripada tiga beradik itu yang juga seorang pelajar.

Amirah berkata, ibunya juga sudah mula bercakap walaupun masih lemah.