Polis menahan seorang lelaki selepas disyaki menikam isterinya yang juga seorang jururawat sebanyak enam kali dalam kejadian di Kampung Padang Lepai, Kadok, di Kota Bharu, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu ACP Mohd Azmir Damiri berkata suspek berumur 47 tahun itu direman selama tujuh hari bermula semalam hingga 12 Okt.

"Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan," katanya kepada Bernama, hari ini.

Sementara itu, ibu mangsa, Zubaidah Abdullah, 78, berkata anaknya yang mengalami enam luka tikaman termasuk pada bahagian hati, usus dan leher dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk menerima rawatan.