GUA MUSANG – Seorang lelaki tidak sempat mengedar sebanyak 1,104 biji pil kuda dan syabu seberat lebih 19 gram bernilai RM20,000 selepas dicekup di Felda Aring 1 di sini hari ini.

Suspek yang berusia 46 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1.30 tengah hari ketika Jabatan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Gua Musang menjalankan Op Tapis di kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, suspek ditahan ketika sedang menunggang motosikal dan pemeriksaan menjumpai kesemua dadah itu.

Katanya, ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti individu lain yang terlibat dan sumber bekalan dadah tersebut,” katanya ketika dihubungi hari ini.