PETALING JAYA – Harga runcit petrol RON97 dan RON95 tanpa subsidi masing-masing meningkat 15 sen seliter bagi tempoh 8 hingga 14 Oktober ini, manakala harga diesel kekal.

Berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga RON97 kini ditetapkan pada RM5.15 seliter berbanding RM5.00 sebelum ini.

RON95 tanpa subsidi pula meningkat kepada RM4.67 seliter berbanding RM4.52 seliter, manakala harga diesel tanpa subsidi kekal pada RM5.27 seliter bagi tempoh sama.

Menurut Kementerian Kewangan (MoF), kenaikan harga itu berlaku ketika harga minyak mentah Brent masih berlegar sekitar AS$100 (RM421) setong sepanjang tempoh pengiraan APM.

Jelas kenyataan itu, walaupun aliran minyak mentah dari Asia Barat semakin pulih, harga minyak mentah dunia kekal tinggi dengan tekanan harga kini lebih tertumpu kepada produk petroleum bertapis.