PETALING JAYA – Kejohanan Ragbi COBRA 10s 2026 yang dijadualkan berlangsung di Padang Astaka, Petaling Jaya pada 31 Oktober dan 1 November depan boleh dianggap cukup istimewa.

Ia berikutan edisi ke-53 itu bakal memperkenalkan COBRA 10s Carnival Weekend yang menggabungkan kejohanan utama bersama COBRA 10s Mini dalam sambutan ragbi melibatkan pelbagai generasi.

Sebanyak 12 pasukan lelaki elit dari Malaysia, Papua New Guinea, Australia, United Kingdom, Afrika Selatan dan Singapura bakal berentap pada kejohanan antarabangsa selama dua hari itu.

Selain pasukan lelaki, kejohanan itu turut menampilkan enam pasukan wanita serta tiga pasukan veteran untuk aksi pertunjukan.

Presiden Kelab Ragbi COBRA, Darryll Sinnappa berkata, penganjuran bagi edisi kali ini sangat istimewa kerana menggabungkan saingan senior dan junior yang bertujuan meraikan setiap generasi.