MELAKA: Dua rakan masing-masing dijatuhi hukuman penjara lapan tahun enam bulan dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Ayer Keroh, hari ini, selepas mengaku bersalah memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 482 gram, enam tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Isa Aziz Ibrahim menjatuhkan hukuman itu terhadap P Thinesh dan R Dhivagharen, kedua-duanya berusia 29 tahun, selepas menimbangkan rayuan mereka, fakta kes serta hujahan pihak pendakwaan.

Mengikut pertuduhan pilihan, kedua-dua tertuduh secara bersama memiliki dadah itu di tepi Jalan TAKH 1, Taman Ayer Keroh Height, kira-kira jam 12.15 tengah malam.

Mereka didakwa melakukan kesalahan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39A(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.