JAKARTA: Kawasan panas kebakaran hutan dan tanah di enam wilayah keutamaan Indonesia meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh sehari, melonjak daripada 238 kepada 542 dengan keadaan jerebu yang semakin mengancam kualiti udara serta mengganggu perjalanan udara di beberapa bahagian negara itu.

Kementerian Perhutanan memaklumkan, hari ini sebanyak 1,085 kawasan panas dikesan di seluruh negara setakat jam 9 malam tadi berdasarkan pemantauan satelit oleh Sistem Informasi Pengesanan Awal Kebakaran Hutan dan Tanah (SiPongi).

Operasi memadamkan kebakaran terus dijalankan di seluruh Sumatera dan Kalimantan.

Kementerian itu berkata, Kalimantan Tengah mencatatkan bilangan kawasan panas tertinggi dalam kalangan enam wilayah berkenaan, melonjak kepada 227 daripada 74 pada hari sebelumnya, diikuti Sumatera Selatan (147 daripada 121) dan Kalimantan Selatan (113 daripada 15).