Ahli Parlimen Tumpat Mumtaz Nawi memberi amaran negara berdepan risiko cuaca panas ekstrem antara Februari dan Mei 2027 dengan suhu berpotensi melebihi 41°C. (Gambar Bernama)PETALING JAYA: Seorang Ahli Parlimen PAS cadang kerajaan perkenal silabus kemandirian dan daya tahan di peringkat sekolah, institusi pengajian tinggi, dan komuniti bagi membolehkan rakyat membuat persiapan lebih baik berdepan bencana serta kecemasan.

Mumtaz Nawi (PN-Tumpat), berkata kemahiran praktikal ikhtiar hidup patut diserapkan ke dalam silabus pendidikan, terutamanya ketika negara bersiap sedia menghadapi kemungkinan fenomena Super El Niño tahun hadapan.

Berucap di Dewan Rakyat, beliau memberi amaran Malaysia berdepan risiko cuaca panas ekstrem antara Februari dan Mei 2027, dengan suhu berpotensi melebihi 41°C.