KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 mencerminkan komitmen Malaysia untuk mengimbangi pertumbuhan ekonomi inklusif dengan disiplin fiskal berterusan dalam mendepani ketidaktentuan geopolitik, perubahan dinamik perdagangan dan tekanan kos.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank merangkap Pengerusi Persatuan Bank-Bank Malaysia, Dato' Sri Khairussaleh Ramli, berkata pendekatan itu penting bagi memastikan kemajuan ekonomi negara terus berteraskan keperluan rakyat, selain meningkatkan daya saing Malaysia dalam jangka panjang.
Beliau berkata, Maybank mengalu-alukan komitmen kerajaan terhadap konsolidasi fiskal, dengan defisit fiskal dijangka mengecil kepada 3.3 peratus pada 2027 berbanding 3.6 peratus pada 2026, sekali gus menghampiri sasaran tiga peratus menjelang 2028.









